mEnara tInjau..

Wednesday, 10 April 2013

Kepahitan yang manis

***بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ***

"Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang."


Pada suatu hari, seorang kaya telah menerima sebiji buah tembikai pemberian daripada tetamunya. Kemudian tuan itu memanggil Luqman iaitu hambanya yang paling patuh dan takut padanya serta hamba yang paling dia sayangi. Sebaik Luqman tiba, tuan itu memotong sebahagian tembikai dan memberikannya kepada Luqman.

Lalu Luqman pun memakan tembikai tersebut dengan penuh rasa kelazatan. Terpancar kenikmatan daripada wajahnya itu. Lalu, tuan itu memberikannya sebahagian lagi kerana seronok melihat hamaba kesayangannya itu sedang menikmati buah pemberiannya.

Luqman menerimanya dan memakannya lagi dengan senyuman dan keikhlasan. Tuan tadi terus memotong dan memberi buah tembikai itu kepada Luqman sehinggalah hanya tinggal satu bahagian  lagi. Kemudian tuan tadi berkata "Biar saya pula yang memakan sebahagian yang tinggal ini untuk merasa betapa manis dan sedapnya tembikai yang kamu makan itu."

Sebaik sahaja si tuan tadi mengigit buah itu, terpancar satu rasa kepahitannya teramat sangat. Lidahnya terasa pahit dan tekaknya mula terasa loya. Dia hampir pengsan dek kerana kepahitan buah tembakai tersebut.

"Bagaimana kamu memakan sepahit racun ini ibarat kamu sedang memakan manisan yang sangat lazat? Betapa tingginya kesabaran kamu? Hanya Allah SWT sahaja yanag tahu betapa seksanya kepahitan yang kamu tanggung sebentar tadi. Mengapa kamu tidak berkata apa-apa? Dan kenapa kamu tidak berterus terang sahaja kepada saya tentang kepahitan buah ini?" soal si kaya tadi.

Gambar : Tembikai


Luqman menjawab, "Saya sudah memakan banyak hidangan yang sedap-sedap daripada tangan tuan, wahai tuanku yang tercinta, tuan telah memberikan saya pelbagai kelazatan dan kesenangan serta kurnia yang banyak yang telah membuatkan saya malu kepada tuan kerana tidak mungkin mampu membalasnya.

"Jadi bagaimana mungkin saya semudah itu ingin berkata buah itu pahit, saya tidak boleh memakannya, sedangkan ia juga daripada tangan tuan? Malah, sepahit mana pun sesuatu yang tuan berikan, semuanya terasa sangat manis bagi saya kerana setiap zarah dalam tubuh saya ini subur kerana kasih sayang daripada tuan. Bagaimana mungkin suatu rasa daripada tangan tuan yang pemurah ini, mengalirkan rasa pahit ke dalam diri saya?"

Demikianlah rasa kasih, hormat, taat dan takut seorang hamba kepada tuannya. Begitu juga kita manusia, sebagai hamba kepada Allah SWT. Allah SWT telah memberi kepada kita hidup ini. Hidup kita tidak lekang daripada rezeki, tidak sunyi daripada senyuman dan tidak sepi daripada kejutan yang menggembirakan.

Bagaimana mudah kita menuding jari kepada Allah SWT apabila diberi sedikit ujian? Bayangkan dalam sehari ada 24 jam, mengapa kerana 20 minit dari waktu itu Allah jadikan hujan, kita mengeluh kerana terhalang daripada melakukan pelbagai aktiviti harian.

Cuba kita renungkan hakikat tersebut kerana kasih sayang dan cinta yang mendalam, tembikai yang pahit boleh terasa manis begitulah kehidupan ini. Seandainya mendalam dan kukuhnya cinta dan kasih kepada-Nya, nescaya setiap dugaan yang menimpa dirasakan manis. Malah tidak wujud sama sekali istilah pengalaman pahit dalam hidup ini kerana setiap pengalaman itu adalah takdir Allah SWT.


*Olahan daripada buku Bertanya Tentang Tuhan
  Penulis : Ibnu Rijal
  Terbitan : Mustread Sdn Bhd


@______________@
( *sebarkan kasih sayang -bintang kecil* )

No comments:

Post a Comment